Wednesday, August 4, 2010

Susu Ibu beri kekuatan Khadijah terus hidup


Pengalaman melahirkan anak kedua yang hanya diberikan peluang 50-50 peratus untuk hidup menjadi kenangan paling tidak akan dilupakan sepanjang hidup ibu ini. Dia menceritakan bagaimana ‘bayi ajaibnya’ berjuang untuk hidup dan kekuatan susu ibu membantu perjuangan itu kepada HASNITA SAWAL.

Memiliki pengalaman hebat sebagai ibu yang berjaya menyusukan susu ibu secara eksklusif membuatkan ibu tabah ini yang lebih mesra dengan panggilan Mirah dianugerahkan Anugerah Johan Ibu Contoh berjaya menyusukan anak bermasalah sempena Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2009 peringkat Hospital Serdang.
Melahirkan anak kedua secara pramatang pada minggu ke-29 kehamilan menjadi memori yang tidak akan dilupakan saat bergelar ibu. Kelahiran Khadijah menguji kekuatan jiwanya sebagai seorang ibu. Rasa sedih dan sayu bercampur baur melihat anak kecilnya bertarung nyawa dan bergelut dengan kesakitan sepanjang berada di dalam wad NICU. Khadijah yang lahir sebagai pra-matang tinggal di wad NICU selama 71 hari kerana beratnya hanya 0.934 kg sahaja.
“Hingga sampai ke satu tahap saya pasrah dan reda jika ALLAH mahu mengambilnya. Namun jauh di sudut hati tidak pernah putus harap, berdoa dan memberikan Khadijah galakan agar dia kuat untuk terus hidup,” ceritanya yang masih jelas di ingatan bagaimana tangan kecil anaknya menggenggam jari kelingkingnya, seolah-olah memberi isyarat tahu kehadiran ummi dan abah di sampingnya. Kerlipan mata si kecil saat Mirah dan suami bercakap dengannya merupakan detik yang tak akan dilupakan sampai bila-bila.

“Kenangan itu walaupun sukar namun sangat terkesan di hati saya. Pengalaman melihat bagaimana badan Khadijah ditebuk dengan enam lubang di bahagian abdomen dan disalur dengan tiub yang bersambung ke botol-botol air untuk mengeluarkan angin dari paru-parunya turut sukar dilupakan,” demikian menurut pemegang Ijazah Sarjana Biokimia ini.

Cabaran menyusukanSi kecilnya mengalami beberapa masalah kesihatan seperti apnea-stop breathing for a while, neumatoraks, buah pinggang dan jaundis. Namun selepas melepasi tahap kritikal, doktor membenarkan dia minum susu dalam kuantiti hanya 1cc. Melihat kemajuan peningkatan berat badan yang positif, doktor menggalakkan memberi susu badan yang dipam kerana katanya itulah ubat terbaik untuk bayi pramatang.
“Doktor tidak menjangka dia boleh pulang awal pada berat badan 1.8 kg. Alhamdulillah hasil pemeriksaan pada otak mendapati ia terbentuk baik dan tiada komplikasi kesihatan. Doktor pakar pediatrik di Hospital Serdang memanggil Khadijah dengan panggilan ‘baby yang eventful’ disebabkan komplikasi di awal kelahirannya dan dia hidup. She’s our miracle baby.”
Bukan mudah tugas menyusukan bayi pra-matang. Ia diakui oleh Mirah tetapi tegasnya ia bukan perkara mustahil asalkan ibu tahan diuji dan sabar menghadapinya.
Saya juga mencuba pelbagai jenis puting botol susu kerana anak tinggal dengan pengasuh. Khadijah juga sukar tidur, saya terpaksa menyusukan dia sambil berdiri dan mendodoikan dalam masa yang sama. Ia berlarutan selama beberapa bulan sehingga dia mahu menyusu secara berbaring pula,” ujarnya yang terpaksa pula belajar posisi menyusu sambil berbaring.
Itu belum termasuk masa yang banyak dihabiskan untuk tujuan pemeriksaan dengan doktor pakar yang mana banyak mengambil masa kerja di pejabat. Semuanya memerlukan pengorbanan dan pengertian daripada majikan. Mujur, Mirah mendapat semuanya itu.
Ibu yang tinggi dengan semangat juang ini turut gigih dan berdisiplin mengepam susunya di pejabat untuk dijadikan stok memenuhi keperluan anak.
“Ia memang mencabar tetapi Alhamdulillah saya berjaya melaluinya dan manisnya sekarang bila melihat anak membesar sihat seperti anak lain,” akuinya memiliki anak pra-matang mendidik jiwa lebih dekat pada sang Pencipta.
Ibu bapa harus cuba memberi yang terbaik pada anak, terutama anak pramatang. Banyak aspek perlu diutamakan seperti pemberian susu dan makanan berkhasiat, menyediakan persekitaran yang bersih, selamat, mempunyai pencahayaan yang baik, tidak merendahkan keupayaan anak sebaliknya mendorong kemajuan fizikal dan emosi dia, pendek kata perlu lebih perhatian dan kasih sayang.
Tekankan didikan agamaKini, Mirah boleh tersenyum puas melihat dua puterinya membesar dengan sihat dan riang. Kakak sulung mula menunjukkan minat yang tinggi dalam akademik sejak dihantar ke tadika seawal usia tiga tahun.
Biar sesibuk manapun tugasnya di pejabat, Mirah tidak pernah lupa memperuntukkan masa untuk anak-anak. Aktiviti mudah seperti bermain, membaca, bersiar-siar membantunya mengeratkan hubungan kekeluargaan. Menangani kerenah anak-anak memang memenatkan.
Tetapi pendekatan yang digunakan dalam mendidik mereka terutama tetap bertegas namun masih menerapkan fahaman kasih sayang mampu membentuk anak-anak yang cemerlang emosi dan spiritual.
“Kami banyak membiarkan anak berdikari dalam membuat keputusan atau melakukan sesuatu dan memerhatikan pilihan mereka. Kami juga mementingkan penekanan agama dan pembentukan jati diri Islam dalam diri anak,” ujarnya yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anak-anaknya.

p/s :Bila membaca kisah ini, memang sedih tetapi d sebalik kisah ibu ini byk pengajaran & pengetahuan yg kita bleh dapat, terutama kpd ibu2 & bakal menjadi ibu.. betapa penting&berkhasiatnya susu ibu itu.. cuba kita bayangkan masa kita kecik2 dulu2 susu ibu kita la yg kita minum, dgn kuasa Allah kita sihat hendaknya... yg bezanya kita skrg ni byk ibu berkerjaya..tp jgn risau, kita usaha jugak utk kebaikan anak kita.. kekuatan anak itu ada pada ibu, sy ada dgr program dlm TV9 "TANYALAH USTAZ" setiap pagi jam 7pg, ustaz tu bgtau...biar kita menangis berdoa semasa anak kita masih kecil jgn kita menangis ketika anak kita besar d atas sbb perbuatanya.. sy pun risau jgk dgn keadaan anak muda zmn skrg ni.. mcmna la dgn keadaan anak kita 15 thn lagi? ckp merisaukan... sama2 la kita doa untuk mereka, moga Allah bukakan pintu hati mereka.


No comments: